15 Mac 2011

Botol Susu Memberi Ancaman Nyawa!

Salam kepada semua blogger terutama kaum ibu yang singgah di laman blog kesayangan aku ini.
Pagi-pagi dah dengar berita yang tak berapa enak untuk didengar. Mesti semua para ibu terpanggil untuk memasang telinga dan mata betul-betul dengan berita pengharaman botol polikarbonat pada Mac tahun depan (2012). Kenapa tahun depan ye? Aku pun tak terkecuali cuak dengan lead article di Berita Harian pada pagi ni. Mana tidaknya, puteri bongsu masih menyusu menggunakan botol. Tapi kalau dilihat gambar yang disertakan ni tentu anda dapat membezakakan yang mana satu botol polikarbonat. Pada pandangan mata kasar aku botol polikarbonat lebih lutsinar, kalau jatuh nyaring sikit bunyi daripada botol bukan polikarbonat. Rasanya harga botol jenis polikarbonat lebih murah di pasaran. Di sini aku petik beberapa perenggan daripada Berita Harian berkenaan bahaya botol polikarbonat untuk bayi dan kanak-kanak.


Botol polikarbonat sebelah kanan
INFO
Bisphenol A (BPA)
Bahan kimia industri yang digunakan dalam penghasilan botol susu bayi polikarbonat
Boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon sekali gus mengganggu sistem fungsi tubuh bayi
Botol susu bayi bebas BPA biasanya dilabel `bebas BPA' pada bahagian bawah botol.
Botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA bersifat keras dan lutsinar
Ia boleh dikenal pasti melalui kod identifikasi plastik yang biasa didapati di bawah botol susu bayi.
Kod terbabit ialah nombor 7, nombor 7 dan PC, nombor 7 dan `other'
Alternatif botol susu bayi di pasaran ialah yang diperbuat daripada polypropylene (PP), polyethersulfone (PES), polyamides (PA) dan kaca.

Panduan pengendalian botol susu bayi polikarbonat:
Steril botol susu bayi mengikut arahan pengendalian pada label atau yang diberikan oleh pengeluar, jika ada.
Jika tiada panduan, pengguna perlu merendam botol susu bayi polikarbonat dalam air yang mendidih selama lima hingga 10 minit.
Elak menggunakan air panas secara terus dalam botol susu bayi polikarbonat untuk membancuh susu.
Guna peralatan mencuci botol susu yang sesuai seperti span dan berus lembut bagi mengelakkan permukaan dalam menjadi rosak dan bercalar.
Sentiasa periksa permukaan dalam botol susu dan jika ada kesan calar atau rosak, ia perlu diganti.
Jika tiada kerosakan, botol susu perlu diganti setiap enam bulan.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di talian      03-88833652/ 3653/ 3655 atau melayari laman web www.moh.gov.my atau http://fsq.moh.gov.my
Ibu bapa berhak menentukan pilihan terbaik untuk anak-anak.

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © BicaraQaseh. Designed by Whitey Mommy